Friday, July 4, 2014

Ramadhan yang Istimewa

Alhamdulillah, insya Allah tahun ini kita bakal bersua lagi dengan Ramadhan. Bulan Ramadhan adalah bulan yang memiliki keutamaan dan keistimewaannya.

Di dalam bulan inilah al-Qur’an diturunkan. Di dalam bulan inilah pintu-pintu Syurga dibuka manakala pintu-pintu Neraka ditutup. Di dalam bulan ini ada malam al-Qadr, iaitu malam yang mulia yang memiliki kebaikan melebihi seribu bulan. Di dalam bulan inilah umat Islam diperintahkan agar berpuasa yang dengannya terkandung pelbagai kebaikan.




Bulan al-Quran diturunkan


Allah subhanahu wa Ta’ala berfirman:

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ فَمَنْ شَهِدَ مِنْكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ

Bulan Ramadhan yang padanya diturunkan al-Qur’an sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan sebagai pembeza (antara yang haq dengan yang bathil). Maka, sesiapa di antara kamu menyaksikan (di negeri tempat tinggalnya) bulan itu, maka hendaklah ia berpuasa di bulan tersebut.” (Surah al-Baqarah, 2: 185)

Berdasarkan pengangan jumhur ulama, al-Qur’an diturunkan secara sekaligus ke langit dunia di Baitul ‘Izzah untuk menunjukkan kepada para malaikat-Nya akan agungnya al-Qur’an ini. Diturunkan pada bulan yang mulia dan malam yang mulia, iaitu malam al-Qadr pada tanggal 24 Ramadhan.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

أُنْزِلَتْ صُحُفُ إِبْرَاهِيمَ عَلَيْهِ السَّلَامُ فِي أَوَّلِ لَيْلَةٍ مِنْ رَمَضَانَ، وَأُنْزِلَتِ التَّوْرَاةُ لِسِتٍّ مَضَيْنَ مِنْ رَمَضَانَ، وَالْإِنْجِيلُ لِثَلَاثَ عَشْرَةَ خَلَتْ مِنْ رَمَضَانَ، وَأُنْزِلَ الْقُرْقَانُ لِأَرْبَعٍ وَعِشْرِينَ خَلَتْ مِنْ رَمَضَانَ

Shuhuf (lembaran-lembaran) Ibrahim diturunkan pada malam pertama bulan Ramadhan, Taurat diturunkan pada tarikh 6 Ramadhan, Injil diturunkan pada tarikh 13 Ramadhan, dan al-Qur’an diturunkan (nuzul al-Qur’an) pada tarikh 24 Ramadhan.” (Hadis Riwayat Ahmad, no. 16984. Ath-Thabrani, no. 3740)

Secara rasminya, al-Qur’an diturunkan kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam untuk pertama kalinya pada malam itu juga. Kemudian secara beransur-ansur selama 23 tahun bersesuaian dengan peristiwa-peristiwa yang mengiringinya bermula dari beliau diutus sehinggalah wafatnya. Selama tiga belas tahun beliau tinggal di Makkah, dan selama itu jugalah wahyu turun kepadanya.

Selepas hijrah, beliau tinggal di Madinah selama sepuluh tahun dan selama itu jugalah wahyu terus turun kepada beliau secara beransur-ansur. Beliau wafat dalam usia 63 tahun. Maka, dengan rasminya sempurnalah penurunan al-Qur’an dan bermula dari saat itu terputuslah wahyu dari langit dengan wafatnya beliau.



Dibukanya Pintu-pintu Syurga

Ramadhan adalah bulan di mana pintu-pintu Syurga dibuka, pintu-pintu Neraka ditutup, dan syaitan-syaitan dibelenggu.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِذَا دَخَلَ رَمَضَانُ فُتِّحَتْ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ جَهَنَّمَ وَسُلْسِلَتْ الشَّيَاطِينُ

Apabila masuk sahaja Ramadhan, maka pintu-pintu Jannah (Syurga) pun dibuka, pintu-pintu jahannam ditutup, dan syaitan-syaitan pula dibelenggu.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, bab: Sifat-sifat Iblis dan Para Tenteranya, no. 3277)

Pada bulan Ramadhan para syaitan tidak sebebas bulan lainnya kerana ia dibelenggu, maka kuasa gangguannya merosot pada bulan tersebut sebagaimana pandangan sebahagian ulama.

Manakala sebahagian ulama lainnya mengatakan bahawa hadis tersebut bukan bererti menunjukkan setiap syaitan dibelenggu, tetapi disebutkan sebagaimana dalam hadis yang lain bahawa yang dibelenggu adalah sebahagian besar syaitan atau merujuk para syaitan yang besar dan ganas.



Malam al-Qadr (Lailatu Qadar)

Malam al-Qadr (atau lailatul qadr) adalah malam yang Allah muliakan dengan banyaknya keutamaan dan kebaikan. Ia adalah malam yang lebih baik dari seribu bulan.  Ibadah yang dikerjakan pada malam tersebut setanding dengan amalan kebaikan selama seribu bulan, iaitu 83 tahun 4 bulan. Sedangkan umur umat Muhammad puratanya hanyalah sekitar 60 hingga 70 tahun sebagaimana disebutkan dalam hadis.

Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

أَعْمَارُ أُمَّتِي مَا بَيْنَ السِّتِّينَ إِلَى السَّبْعِينَ، وَأَقَلُّهُمْ مَنْ يَجُوزُ ذَلِكَ

Umur umatku adalah di antara 60 hingga 70 tahun. Yang melebihi usia tersebut adalah amat sedikit sekali.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi, no. 3550)

Tetapi Allah telah memuliakan mereka dengan adanya malam al-Qadr tersebut di setiap tahun pada bulan Ramadhan untuk beramal dengan ganjaran pahala selama amalan seribu bulan.

Kata al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah (Wafat: 774H), “Malaikat banyak yang turun pada malam tersebut kerana banyaknya kebaikan. Para malaikat turun bersamaan dengan turunnya keberkahan dan rahmat.” (Tafsir Ibnu Katsir, 5/444)

Kata Syaikh Muhammad B. Soleh al-‘Utsaimin rahimahullah, “Para Malaikat turun pada malam al-Qadr dengan membawa kebaikan, rahmat, dan barakah. Malam tersebut disebut malam kesejahteraan kerana banyaknya hamba Allah yang selamat dari siksaan disebabkan ketaatannya kepada Allah.” (Majlis Syahri Ramadhan, m/s. 252-253)



Bulan Keampunan


Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

الصَّلَوَاتُ الْخَمْسُ، وَالْجُمْعَةُ إِلَى الْجُمْعَةِ، وَرَمَضَانُ إِلَى رَمَضَانَ، مُكَفِّرَاتٌ مَا بَيْنَهُنَّ إِذَا اجْتَنَبَ الْكَبَائِرَ

Solat 5 waktu, Juma’at ke Juma’at berikutnya, dan Ramadhan ke Ramadhan berikutnya adalah pelebur dosa antara keduanya apabila dosa-dosa besar dijauhi.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 233)

Beliau juga bersabda:

مَنْ قَامَ لَيْلَةَ القَدْرِ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ، وَمَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Sesiapa yang menghidupkan malam al-Qadr dengan keimanan dan mengharap pahala Allah, maka diampunkan dosanya yang telah lalu. Dan sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan kerana keimanan dan mengharap pahala Allah, maka akan diampunkan dosanya yang telah lalu.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 1901)

Demikianlah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menjelaskan betapa Ramadhan penuh dengan peluang keampunan dosa-dosa. Antaranya dengan berpuasa dan menghidupkan malam al-Qadr dengan keimanan dan mengharap pahala Allah Subhanahu wa Ta’ala. Maka ya Allah, ampunilah kami dari dosa-dosa kami.



Umrah di Bulan Ramadhan

Selain ibadah-ibadah yang dimaklumi seperti berpuasa wajib, qiyam Ramadhan, dan bersedekah, melaksanakan ibadah ‘umrah pada bulan Ramadhan juga turut dijelaskan sebagai memiliki fadhilat dan ganjaran yang khusus. Ini sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadis.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

فَإِنَّ عُمْرَةً فِي رَمَضَانَ تَقْضِي حَجَّةً أَوْ حَجَّةً مَعِي

Sesungguhnya (pahala) melaksanakan ‘umrah pada bulan Ramadhan itu menyamai (pahala) melaksanakan haji bersama-ku.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 1863)

Cukuplah beberapa contoh keutamaan yang menunjukkan agungnya bulan Ramadhan ini. Di samping memang masih banyak lagi contoh-contoh keutamaan yang lainnya. Semoga kita manfaatkan Ramadhan ini semaksima mungkin bertepatan dengan sifat keistimewaannya sebagai bulan yang penuh kebaikan, penuh rahmat, penuh ganjaran, bulan keampunan, dan bulan ibadah.


Sumber rujukan
an-nawawi.blogspot.com




No comments:

Post a Comment